Tuesday, September 1, 2009
Isu Kepala Lembu
Ia bukan isu agama, jauh lagi isu kaum. Tetpi tindakan pihak tidak bertanggungjawab memalitkan umat Islam bukan umat yang sabar dan tidak bertoleransi. Penulis tidak mahu memandang isu ini sebagai isu politik. Tetapi jauh ke hadapan kita perlu memikirkan dimana tahap perpaduan kita selepas baru sahaja menyambut kemerdekaan ke 52.
Sebenarnya kita gagal berfikir secara matang isu ini melihat jauh dari fahaman agama.
Adakah salah tempat agama lain dibina ditempat bukan agama kita sendiri. Adakah Islam pernah melarang orang lain mengamalkan ajran agma mereka sendiri. Dan sejak bila pula, Islam tidak menghormati ajaran / rumah ibadat agama lain sedangkan sejarah membuktikan ada nabi/sahabat yg membenarkan masjid dan rumah ibadah lain dibina bersebelahan.
Mungkin kita perlu merenung dalam dan ikhlas bertanya dalam hati kita kerana kita telah terlalu lama duduk dalam kelompok kita sendiri.
Satu Malaysia?
Tuesday, April 28, 2009
Jangan Tegur
Pada 18hb yang lalu, saya bersama-sama teman kerja di USIM menghilangkan boring dihujung minggu dengan menonton filem Jangan Tegur. Sudah ada perubahan terhadap cerita David Teo walau pun pada hakikatnya jalan cerita nya tidak kurang berbeza dengan cerita Jangan Pandang Belakang.
Pujian patut diberi kepada solekan, dan warna muka pelakon yang dibuat seakan-akan kisah benar. Walau pun filem ini berkontroversi dengan Pengarahnya namun penulis memberi 5 bintang terhadap ketakutan yang 'berjaya' diwujudkan kepada penulis.
Thursday, February 12, 2009
Ilmu dari Irfankhairi.com
Dalam mencari pekerja untuk perniagaan anda, anda tak tahu apa yang anda akan dapat. Bak kata Forrest Gump: “Life is like a box of chocolate. You’ll never know what you’re gonna get”. Samalah dengan mencari pekerja mengendalikan perniagan anda.
Bila menemubual, ada yang datang berpakaian smart habis, segak, berkeyakinan bila bercakap, tetapi, bila sudah menjadi pekerja later on kita find out dia tidak boleh diharap. Ada juga yang datang untuk temubual, datang selekeh, tak pandai bercakap, gaya tidak berkeyakinan… tetapi, later on kita dapati dia seorang yang pintar untuk perniagaan!
Just think about it. Dalam temubual, pastinya semua orang sudah bersedia untuk memberi tanggapan pertama yang menarik dan terbaik. Sama ada dia seorang yang jujur, atau pun tidak. Pastinya ia tidak dapat dilihat ketika temubual. Mempunyai pekerja boleh menjadi satu risiko untuk sesuatu perniagaan.
Jadi perlu buat apa?
Nasihat terbaik saya dapati dari Donald Trump. Katanya:
Hire the best people, and don’t trust them! (Buku Think Big, ms 154)
Donald Trump menceritakan pengalaman dirinya dan juga kenalan ahli perniagaannya yang melakukan kesilapan mendapatkan peguam terbaik, accountant terbaik, pekerja terbaik dan mempercayai mereka. Apa yang terjadi adalah, mereka menikam dari belakang.
So, next time anda mencari pekerja… ataupun dengan pekerja anda yang sedia ada, pastikan anda tahu segala-galanya yang dilakukan terutamanya yang melibatkan wang. Kerana “You’ll never know what you’re gonna get”!
ps: Siapa ada pengalaman (sendiri/keluarga/kenalan) mengenai pekerja yang tak jujur, apa kata kongsikan pengalaman tersebut di sini. Supaya kita semua sedia maklum perkara-perkara sebegini boleh terjadi.
Wednesday, December 3, 2008
Graduan Undang-Undang UUM layak jalani latihan dalam kamar


Graduan undang-undang Universiti Utara Malaysia pada bulan Disember ini genaplah setahun tidak dapat menjalani latihan dalam kamar sepertimana yang diperuntukkan di dalam Akta Profesion Guaman bagi menjadi pengamal undang-undang yang bertauliah. Sesuatu yang amat memalukan di dalam sistem pengajian tinggi negara yang kita katakan universitinya ingin menuju ke arah universiti kelas dunia namun graduan program profesionalnya tidak boleh diterima untuk menjadi sebahagian pelatih dalam kamar.
Program undang-undang Universiti Utara Malaysia bukan sahaja dirumus melalui subjek-subjek teras undang-undang yang hampir sama dengan graduan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi MARA bahkan ditambah nilai kursus pengajiannya di dalam bidang pengurusan dan perakaunan. Secara keseluruhannya, graduan undang-undang UUM perlu menghabiskan 154 jam kredit di dalam tempoh empat tahun berbanding graduan undang-undang universiti awam lain hanya perlu menghabiskan lebih kurang 130 jam kredit di dalam tempoh yang sama. Justeru, dimana ketidakbolehan mahasiswa undang-undang UUM untuk menjalani latihan di dalam kamar jika secara teorinya subjek diajar adalah sama.
Selain itu, partisipasi mahasiswa undang-undang UUM bukan sahaja boleh dilihat sejak program ini diperkenalkan pada akhir tahun 2003 tetapi sehingga hari ini mahasiswa undang-undang UUM tidak pernah tidak menyertai program mahasiswa undang-undang anjuran Fakulti Undang-Undang di institusi pengajian tinggi awam lain serta badan profesional seperti Majlis Peguam. Ini dibuktikan penyertaan setiap tahun di dalam pertandingan Debat Bahasa Melayu Majlis Peguam Malaysia, pertandingan Mahkamah Moot peringkat kebangsaan, pertandingan Kaunseling Pelanggan dan sebagainya.
Kesemua ini membuktikan komitmen mahasiswa undang-undang UUM di dalam pertandingan di dalam dan di luar anjuran Fakulti Undang-Undang dan badan profesional guaman bagi memastikan mahasiswa undnag-undang UUM tidak keciciran di dalam dunia profesional guaman diluar walaupun berada nun jauh di utara tanahair. Kenyataan memperlekehkan graduan undang-undang UUM tidak dapat diterima sedangkan kami belum diuji di dalam dunia realiti khususnya ketika berada di dalam tempoh latihan di dalam kamar.
Kenyataan sesetengah pihak mengkehendaki kami menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman atau lebih dikenali Certificate of Legal Practise (CLP) adalah kenyataan berat sebelah dan hanya mengundang rasa tidak puas hati dikalangan kami. Pertama, kami merupakan graduan undang-undang yang telah pun menamatkan pengajian undang-undang di dalam tempoh empat tahun sepertimana graduan undang-undang universiti awam yang lain. Ini termasuklah pengajian tahun akhir kami merangkumi kursus Jurisprudens, Prosedur Jenayah di Malaysia, Prosedur Sivil di Malaysia, undang-undang keterangan dan Amalan Profesional yang juga merupakan kursus wajib di dalam peperiksaan Sijil Amalan Guaman. Oleh itu, apa rasionalnya kami dikehendaki menduduki peperiksaan yang sama sedangkan kami telah pun belajar dan digredkan untuk kursus tersebut?
Kedua, kenyataan menafikan kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam kursus pengajian undang-undang tahun akhir juga menafikan kualiti para pensyarah yang mengajar di UUM. Sedangkan para pensyarah ini juga mempunyai kelulusan Sarjana atau PhD dan juga merupakan graduan undang-undang universiti tempatan dan luar negara yang telah mempunyai pengalaman di dalam amalan guaman sehingga lebih 10 tahun. Persoalan-persoalan ini perlu dirungkaikan dan justifikasi yang kukuh perlu dimaklumkan kepada kami agar kami tidak menjadi seperti ibarat menuggu bulan jatuh ke riba.
Sehingga hari ini dari Perlis hingga ke Sabah, dari Johor sampailah ke Kelantan graduan undang-undang UUM berada dimana-mana. Kelewatan memberikan kelulusan untuk mahasiswa undang-undang UUM menjalani latihan di dalam kamar hanyalah merugikan modal insan yang ada pada generasi baru undang-undang di Malaysia seperti kami.
Tuesday, September 16, 2008
Menjelekkan
Hanya kerana pemimpin mahasiswa ini mirip menyokong parti pembangkang akhirnya mereka tidak dibenarkan menjadi pembentang kertas kerja dalam satu program anjuran badan tertinggi pelajar di utara tanahair. Seharusnya kita perlu faham ketika Dr. Nordin Kardi melalui BTN menjadi penganjur bersama Konvensyen Pemimpin MPP SeMalaysia bersama USM, pemimpin-pemimpin parti politik pembangkankg turut dijemput untuk membentang kertas kerja agar fahaman politik ini tidak menjadi halangan dalam menyampaikan ilmu khususnya klepada pemimpin mahasiswa.
Sudahlah pemimpin parti politik pembangkang tidak dibenarkan masuk ke kawasan kampus, malah pemimpin mahasiswa yang kritis pemikirannya pun tidak dibenarkan membentang kertas kerja. Percayalah para pemimpin mahasiswa ini percaya kepada idealisme yang baik bukannya mereka ini bercakap atas kepentingan orang lain. Pemimpin mahasiswa kita tidak perlu dicucuk hidungnya untuk menjadi ikutan parti politik luar.
Selagi pemimpin tertinggi universiti awam terus didokong ‘orang lama’ dan berpemikiran primitif sebegini selagi itulah kita jangan mengharap universiti awam kita akan disanjung dan dijunjung bukan sahaja masyarakat antarabangsa luar malahan pensyarah dan pelajarnya.
IHK - Hadi
Saturday, May 31, 2008
Memahami Pemikiran Orang Muda...
Keajaiban ini bukan sahaja menyebabkan lima buah negeri jatuh di tangan pembangkang malahan Nurul Izzah Anwar yang turut di kenali dengan jolokan Puteri Reformasi telah menumbangkan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga di kawasan parlimen Lembah Pantai. Kejayaan ini pastilah di sambut dengan penuh syukur dan gembira golongan muda memandangkan Nurul Izzah baru sahaja berusia 27 tahun dan merupakan ahli Parlimen termuda bagi penggal kali ini.
Menyorot sejarah golongan muda di dalam badan perundangan negara ini pastinya masyarakat masih lagi mengingati nama Fong Po Kuan dari Parti Demokratik Rakyat Malaysia (DAP) yang turut menjadi ahli Yang Berhormat termuda ketika berusia 26 tahun di parlimen Batu Gajah. Peluang mengetengahkan calon golongan muda khususnya oleh parti-parti pembangkang akhirnya mendatangkan hasil. Keperluan golongan muda di dalam Parlimen bukan sesuatu yang asing bagi negara-negara maju. Sekadar menyebut beberapa contoh yang jelas seperti di Kanada bilamana Pierre Poilievre telah menjadi ahli termuda dalam Canadian House of Commons ketika berusia 24 tahun.
Selain itu, Malcolm Fraser dan Paul Keating baru berusia 25 tahun bilamana memenangi pilihanraya Australia pada tahun 1955 dan 1969. Begitu juga di Ireland yang mempunyai sejarah yang cukup panjang dalam meletakkan golongan muda menjadi ahli badan legislatif mereka. Kesediaan negara-negara sebegini meletakkan calon golongan muda seharusnya diteladani memandangkan masyarakat di dalam negara tersebut mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan muda dalam menjana idea yang konstruktif dan membina.
Sebenarnya keperluan meletakkan segelintir golongan muda dianggap perlu bagi menjamin kesinambungan kepimpinan negara di masa hadapan. Penghasilan bakat- bakat kepimpinan yang bermutu tinggi di dalam Majlis Perwakilan Pelajar di institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara seharusnya dijadikan platform awal untuk membolehkan golongan muda ini dilatih dan digilap bakatnya untuk mewakili golongan muda.
Ini penting kerana hanya pemimpin mahasiswa dan belia sahaja yang memahami aspirasi dan kehendak golongan mereka. Sekiranya, hasrat mereka diwakili dan direpresentasikan bukan dari golongan mereka pastinya ia adalah sesuatu yang janggal. Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang ditubuhkan kerajaan sejak 2001 dilihat kini kurang ‘berbisa’ bagi membenarkan golongan muda ini dari terus menyumbang idea dan pandangan. Kehendak golongan muda sebegini untuk terlibat di dalam politik negara juga pernah dizahirkan beberapa kali di dalam forum dan memorandum kepada kerajaan.
Antara contoh yang jelas adalah perjuangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti terhadap kongkongan mahasiswa dari berpartisipasi dengan kegiatan parti politik. AUKU yang digubal 1971 bukan sahaja mengikat malahan sebenarnya telah ‘membunuh’ kehidupan mahasiswa untuk menjadi golongan muda yang penuh dengan idealisme. Selain itu, jika diteliti memorandum yang dihantar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkaitan 13 Tuntutan Pelajar Islam dalam Pilihanraya Umum ke 12 juga menyebutkan dengan terang-terangan agar wakil generasi muda wajar dilantik sebagai Senator dalam Dewan Negara bagi mewakili hasrat mereka.
Seharusnya hasrat ini dilihat dalam ruang lingkup menjaga kepentingan dan pembinaan negara maju yang cukup panjang. Ini kerana golongan muda ini perlu diberikan peluang di dalam badan legislatif negara memandangkan kelompok ini juga mewakili sebahagian besar golongan mahasiswa dan belia di dalam negara ini yang telah menjadi pengundi.
Sekiranya kerajaan boleh melantik wakil senator yang terdiri daripada golongan istimewa, pesara, seniman dan sebagainya di dalam Dewan Negara mengapa tidak golongan muda yang terdiri daripada mahasiswa dan belia diberi hak yang sama. Keperluan meletakkan wakil mahasiswa atau belia di dalam badan perundangan itu kian mendesak apabila kini terdapat pelbagai isu yang menghujani generasi tersebut.
Isu- isu seperti kebejatan gejala sosial, hak mahasiswa di dalam universiti, PTPTN dan sebagainya akan memberikan ruang yang secukupnya bagi wakil mahasiswa yang dilantik membahaskan isu tersebut bersandarkan kaca mata mereka yang mendepani sendiri isu terbabit. Analoginya mudah bilamana orang lain yang makan buah durian tetapi orang lain yang menyatakan kelazatannya mengambarkan bagaimana golongan yang tidak pernah berhadapan secara realiti isu-isu diatas dapat berbahas dan membuat undang-undang dengan baik untuk golongan mahasiswa dan belia.
Justeru, kejayaan golongan muda seperti Yang Berhormat Fong Po Kuan dan Nurul Izzah Anwar dalam menjuarai isu golongan muda dan global hanyalah sebilangan kecil contoh golongan ini yang jauh lebih baik lagi dari segelintir ahli Yang Berhormat senior yang hanya sekadar menjadi pemerhati. Justeru, kerajaan seharusnya lebih bersikap terbuka khususnya pasca pilihanraya dalam menghalang ketirisan golongan muda dari terlibat dengan kegiatan berpolitik bagi mengelakkan ‘keajaiban’ pilihanraya umum ke 12 berulang kembali. Keputusan berani dan telus ini perlu bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali.
Golongan muda hari ini sudah cukup bijak untuk turut sama menyampaikan pendapat. Keperluan untuk berdemonstrasi seharusnya boleh diganti kerajaan dengan membenarkan golongan ini dilantik di Parlimen bagi membolehkan pendapat mereka disalurkan secara demokrasi. Kewujudan wakil golongan muda ini untuk belajar dan menimba pengalaman di tempat sebegini bukan sahaja akan dilihat satu lagi pengiktirafan kerajaan terhadap mereka malahan akan mengiktiraf kata-kata Prof DiRaja Ungku Aziz dalam buku ‘Mahasiswa Mengugat’ karya Mohamad Abu Bakar iaitu belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, berpengalaman (mencabar) dan terpelajar.
*Artikel ini telah disiarkan Dewan Masyarakat pada bulan Julai 2008 yang lalu.
